Tuesday, 6 November 2012

Stesen MARDI Pasir Puteh



Stesen MARDI Pasir Puteh mula didirikan pada 1974. Pada 1976 bangunan telah siap dan beroperasi sebagai kilang memproses makanan ternakan. Tahun 1979  aktiviti R&D yang dijalankan ialah memberi khidmat sokongan kepada penyelidikan tembakau. Pada 1981, projek penyelidikan makanan ternakan dan pengawetan tembakau dijalankan. Tahun 1984, aktiviti-aktiviti pemindahan teknologi makanan aktif dijalankan. Tahun 1999, aktiviti stesen menjalankan latihan-latihan teknikal kursus-kursus teknologi makanan. Pada 2003, Stesen Jeram Pasu diletakkan di PTJ Kubang Keranji.

Fungsi dan aktiviti utama Stesen MARDI Pasir Puteh memfokuskan :
  • Menjalankan aktiviti-aktiviti pembangunan dan pemindahan teknologi Agro-Makanan.
  • Menyedia khidmat sokongan teknikal dan kawalan mutu serta maklumat-maklumat berkenaan membangunkan usahawan yang berinovasi dan berdaya saing.
  • Menjalankan program-program kursus dan demonstrasi pemprosesan makanan samada secara berjadual atau luar jadual.
  • Menyebar maklumat berkaitan Agro-Makanan menerusi ceramah, seminar, pameran, lawatan, mesyuarat dan sebaran media.
  • Menyedia kemudahan dan peralatan serta kepakaran untuk pengusaha di bawah Sistem Test Bed Teknologi MARDI termasuk sewa logistik oleh pelanggan.
  • Menyedia dan mengurus sumber-sumber stesen untuk tujuan pemindahan teknologi dan khidmat pelanggan secara optima termmasuk menjana hasil MARDI.



Monday, 5 November 2012

Stesen MARDI Jeram Pasu



Stesen MARDI Jeram Pasu mula ditubuhkan pada Februari 1977 dimana asalnya adalah Stesen untuk penyelidikan tembakau. Pada tahun 1978 dibuka dengan rasminya sebagai stesen penyelidikan tembakau. Tahun 1980 stesen telah diserahkan kepada Cawangan Tanaman Ladang. Tahun 1983 stesen telah diserahkan kepada Cawangan Buah-buahan memandangkan tanaman ladang seperti jagung dan kacang tanah tidak berjaya ditanam, manakala tanaman buah-buahan seperti mangga menunjukkan prestasi yang baik. Tahun 1984 stesen telah dijadikan  ’out-reach station’ untuk penyelidikan buah-buahan. Tahun 1985 stesen dijadikan sebagai stesen penyelidikan buah-buahan sepenuhnya mulai bulan September 1985.

Pengstrukturan semula MARDI 2002 telah memutuskan Stesen Jeram Pasu di letakkan dibawah pentadbiran Kubang Keranji sebagai Pusat Tanggung Jawab (PTJ).

Fungsi dan aktiviti-aktivi utama stesen memfokuskan:
  • Stesen sokongan kepada pusat kecemerlangan penyelidikan dan inovasi teknologi bagi buah-buahan.
  • Stesen ini juga berfungsi sebagai stesen sokongan kepada aktiviti pemindahan dan pengkomersialan teknologi.
  • Menjalankan penyelidikan dalam bidang baikbiak baka, agronomi & fisilogi, musuh dan penyakit tanaman buah-buahan.
  • Mewujudkan ladang contoh buah-buahan.
  • Mengadakan program latihan kepada petani dan pengusaha dalam bidang berkaitan buah-buahan

Stesen MARDI Telong



Bangunan sementara Stesen Penyelidikan MARDI Telong telah dibina pada tahun 1982. Pada tahun 1984, bangunan baru yang lengkap dengan kemudahan pejabat, makmal dan perpustakaan telah dibina.  Pada masa itu, aktiviti utama stesen ini ialah penyelidikan tembakau dengan tumpuan ke arah membentuk dan memajukan teknik-teknik pengeluaran daun hijau dan kaedah-kaedah pengawetan yang wajar dan cekap bagi menjamin pengeluaran daun yang bermutu tinggi. 

Bermula pada tahun 1996, selain tembakau, stesen ini juga memberi tumpuan kepada tanaman lain seperti tanaman ladang, tumbuhan ubatan dan tanaman industri lain seperti kenaf.   Penyelidikan lain termasuk membangunkan sistem perladangan, aspek pengurusan tanah bris dan sistem pengairan.

Stesen MARDI Telong terletak 6 km dari Simpang Tiga Melawi, melalui jalan persisiran pantai ke Besut, Kuala Terengganu.  Stesen ini 12 km dari Bachok dan 36 km dari Kota Bharu. Kedudukannya berhampiran dengan Laut China Selatan pada ketinggian 5 hingga 10 m dari aras laut, di jajahan yang terkenal dengan perusahaan tembakau, Bachok. Kawasannya seluas 21 hektar ini mempunyai permukaan tanah yang rata dan berpasir (tanah bris Siri Rudua, Rhu Tapai dan Rusila).   Stesen ini lengkap dengan kemudahan asas untuk penyelidikan seperti petak penyelidikan, kemudahan sistem pengairan, peralatan jentera pertanian, kemudahan ban pengeringan, makmal analisis, makmal lepas tuai dan perpustakaan.
                 
Pada masa ini Stesen Telong ini dikelaskan sebagai salah satu daripada stesen Pusat Kecemerlangan dan Inovasi MARDI khususnya untuk tanaman ladang.  Fokus utama stesen Telong ialah penyelidikan tumbuhan ubatan, sistem perladangan campur dan teknologi pengeluaran tanaman di tanah bris.  Sebagai Stesen Pusat Kecemerlangan dan Inovasi MARDI, stesen ini akan diperlengkapkan lagi dengan kemudahan dan keperluan penyelidikan bagi memastikan teknologi pengeluaran bagi tanaman herba dan tanaman industri lain dapat dilengkapi lagi supaya teknologi secara pakej yang dijanakan dapat dimanfaatkan oleh pengusaha. Makmal herba juga sedang dibangunkan bagi menyokong penyelidikan dalam bidang tanaman herba. Kemudahan lengkap bagi tujuan pemindahan teknologi melalui kursus dan seminar juga akan diwujudkan di stesen ini tidak lama lagi.  

Stesen MARDI Kubang Keranji



Ditubuhkan sebagai Ibu Pejabat MARDI Kelantan pada tahun 1971 menumpang di Pejabat Pertanian Lundang. Pada tahun 1974 menyewa bangunan sendiri di Lundang. Tahun 1975 stesen telah berpindah ke Kubang Keranji setelah pejabat bangunan siap dibina di atas tanah seluas 3 ekar merangkumi 2 tingkat bangunan kayu, setor dan bengkel/garaj. Pada tahun 1986 keluasan tanah telah diperbesarkan kepada 7 ekar dan pembinaan telah ditambah dengan bangunan pejabat kekal (konkrit). Tahun 2000 stesen telah distruktur semula sebagai Stesen Pembangunan dan Khusus.  Menempatkan Pejabat Pengarah MARDI Negeri, juga menempatkan kakitangan R&D.

Pengstrukturan semula MARDI 2002 telah memutuskan Stesen Pasir Puteh dan Jeram Pasu di letakkan dibawah pentadbiran Kubang Keranji sebagai Pusat Tanggung Jawab (PTJ). Lokasi Stesen MARDI Kubang Keranji adalah amat strategik terletak di pinggir bandar satelit Kubang Kerian, Kota Bharu serta berhampiran dengan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Projek Kemasin Semerak (PKS), Pelabuhan Perikanan Tok Bali, Projek Pembangunan Pertanian Jeli, Projek Pertanian Bersepadu KADA, Projek Pertanian Integrasi Kesedar dan lain-lain.

Stesen MARDI Kubang Keranji menyediakan prasarana asas untuk khidmat sokongan penyelidikan oleh Pusat-Pusat Penyelidikan MARDI. Stesen ini menempatkan pejabat operasi Pengarah MARDI Negeri Kelantan yang terlibat sepenuhnya dalam program-program pemindahan dan pembangunan teknologi MARDI kepada golongan sasaran, agensi-agensi pengembangan pertanian negeri dan persekutuan Negeri Kelantan.

Kemudahan infrastruktur dan bangunan di stesen untuk tujuan sokongan ToT dan R&D adalah meliputi Makmal Latihan (sos, kuih), bangunan kilang (perusahaan potpouri), makmal analisis makanan, makmal padi, bilik TIC, rumah kebal serangga, plot penyelidikan, plot pengeluaran benih kenaf, plot tanaman, bilik kuliah, bilik seminar, bilik mesyuarat, peralatan pengeringan dan pengisaran hasil pertanian serta tapak pengeringan.

Peranan stesen ini adalah penting kerana secara langsung menyumbang kepada perkembangan industri hiliran pertanian negeri menerusi program-program pemindahan teknologi serta kerjasama dua hala antara agensi.  Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan termasuk penganjuran kursus, latihan, seminar, ceramah, pameran, sebaran maklumat, penyelidikan bersama Universiti dan Jawatankuasa TWG.

Stesen MARDI Kubang Keranji berupaya menjalankan fungsi dan tanggungjawab yang diberikan menerusi kerjasama sepadu di kalangan semua kakitangan dari pelbagai pusat di stesen (PS, RI, ET, SR, HR, PT).  Hasil kerjasama erat dan prestasi cemerlang tersebut, stesen telah diisytihar sebagai pemenang Anugerah Stesen Terbaik MARDI 2003.