Bangunan sementara Stesen Penyelidikan MARDI Telong telah dibina pada tahun 1982. Pada tahun 1984, bangunan baru yang lengkap dengan kemudahan pejabat, makmal dan perpustakaan telah dibina. Pada masa itu, aktiviti utama stesen ini ialah penyelidikan tembakau dengan tumpuan ke arah membentuk dan memajukan teknik-teknik pengeluaran daun hijau dan kaedah-kaedah pengawetan yang wajar dan cekap bagi menjamin pengeluaran daun yang bermutu tinggi.
Bermula pada tahun 1996,
selain tembakau, stesen ini juga memberi tumpuan kepada tanaman lain seperti
tanaman ladang, tumbuhan ubatan dan tanaman industri lain seperti kenaf. Penyelidikan lain termasuk membangunkan
sistem perladangan, aspek pengurusan tanah bris dan sistem pengairan.
Stesen MARDI Telong
terletak 6 km dari Simpang Tiga Melawi, melalui jalan persisiran pantai ke
Besut, Kuala Terengganu. Stesen ini 12
km dari Bachok dan 36 km dari Kota Bharu. Kedudukannya berhampiran dengan Laut
China Selatan pada ketinggian 5 hingga 10 m dari aras laut, di jajahan yang
terkenal dengan perusahaan tembakau, Bachok. Kawasannya seluas 21 hektar ini
mempunyai permukaan tanah yang rata dan berpasir (tanah bris Siri Rudua, Rhu
Tapai dan Rusila). Stesen ini lengkap
dengan kemudahan asas untuk penyelidikan seperti petak penyelidikan, kemudahan
sistem pengairan, peralatan jentera pertanian, kemudahan ban pengeringan,
makmal analisis, makmal lepas tuai dan perpustakaan.
Pada masa ini Stesen
Telong ini dikelaskan sebagai salah satu daripada stesen Pusat Kecemerlangan
dan Inovasi MARDI khususnya untuk tanaman ladang. Fokus utama stesen Telong ialah penyelidikan
tumbuhan ubatan, sistem perladangan campur dan teknologi pengeluaran tanaman di
tanah bris. Sebagai Stesen Pusat
Kecemerlangan dan Inovasi MARDI, stesen ini akan diperlengkapkan lagi dengan
kemudahan dan keperluan penyelidikan bagi memastikan teknologi pengeluaran bagi
tanaman herba dan tanaman industri lain dapat dilengkapi lagi supaya teknologi
secara pakej yang dijanakan dapat dimanfaatkan oleh pengusaha. Makmal herba
juga sedang dibangunkan bagi menyokong penyelidikan dalam bidang tanaman herba.
Kemudahan lengkap bagi tujuan pemindahan teknologi melalui kursus dan seminar
juga akan diwujudkan di stesen ini tidak lama lagi.
Assalamualaikum. Sy nak tanya, di sini ambil student praktikal tak?
ReplyDelete