Monday, 5 November 2012

Stesen MARDI Telong



Bangunan sementara Stesen Penyelidikan MARDI Telong telah dibina pada tahun 1982. Pada tahun 1984, bangunan baru yang lengkap dengan kemudahan pejabat, makmal dan perpustakaan telah dibina.  Pada masa itu, aktiviti utama stesen ini ialah penyelidikan tembakau dengan tumpuan ke arah membentuk dan memajukan teknik-teknik pengeluaran daun hijau dan kaedah-kaedah pengawetan yang wajar dan cekap bagi menjamin pengeluaran daun yang bermutu tinggi. 

Bermula pada tahun 1996, selain tembakau, stesen ini juga memberi tumpuan kepada tanaman lain seperti tanaman ladang, tumbuhan ubatan dan tanaman industri lain seperti kenaf.   Penyelidikan lain termasuk membangunkan sistem perladangan, aspek pengurusan tanah bris dan sistem pengairan.

Stesen MARDI Telong terletak 6 km dari Simpang Tiga Melawi, melalui jalan persisiran pantai ke Besut, Kuala Terengganu.  Stesen ini 12 km dari Bachok dan 36 km dari Kota Bharu. Kedudukannya berhampiran dengan Laut China Selatan pada ketinggian 5 hingga 10 m dari aras laut, di jajahan yang terkenal dengan perusahaan tembakau, Bachok. Kawasannya seluas 21 hektar ini mempunyai permukaan tanah yang rata dan berpasir (tanah bris Siri Rudua, Rhu Tapai dan Rusila).   Stesen ini lengkap dengan kemudahan asas untuk penyelidikan seperti petak penyelidikan, kemudahan sistem pengairan, peralatan jentera pertanian, kemudahan ban pengeringan, makmal analisis, makmal lepas tuai dan perpustakaan.
                 
Pada masa ini Stesen Telong ini dikelaskan sebagai salah satu daripada stesen Pusat Kecemerlangan dan Inovasi MARDI khususnya untuk tanaman ladang.  Fokus utama stesen Telong ialah penyelidikan tumbuhan ubatan, sistem perladangan campur dan teknologi pengeluaran tanaman di tanah bris.  Sebagai Stesen Pusat Kecemerlangan dan Inovasi MARDI, stesen ini akan diperlengkapkan lagi dengan kemudahan dan keperluan penyelidikan bagi memastikan teknologi pengeluaran bagi tanaman herba dan tanaman industri lain dapat dilengkapi lagi supaya teknologi secara pakej yang dijanakan dapat dimanfaatkan oleh pengusaha. Makmal herba juga sedang dibangunkan bagi menyokong penyelidikan dalam bidang tanaman herba. Kemudahan lengkap bagi tujuan pemindahan teknologi melalui kursus dan seminar juga akan diwujudkan di stesen ini tidak lama lagi.  

1 comment:

  1. Assalamualaikum. Sy nak tanya, di sini ambil student praktikal tak?

    ReplyDelete